brand logo
Info Kesihatan
Alat Kesihatan
Komuniti

Kongsi

Fakta Mengenai COPD

COPD atau Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik ialah penyakit progresif yang menyebabkan pesakit gagal mengeluarkan udara daripada paru-paru mereka sehingga membuatkan pernafasan menjadi susah. Penyakit di bawah COPD termasuk bronkitis kronik dan emfisema.

Fakta Mengenai COPD

Antara simptom penyakit kronik ini ialah susah bernafas, batuk kronik beserta kahak, dan jangkitan paru-paru.

Fakta mengenani COPD

1. 3 juta orang mati setiap tahun disebabkan COPD

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit ini meragut sebanyak 3 juta nyawa setiap tahun. Angka ini bersamaan 5 peratus daripada keseluruhan penduduk dunia dan dijangka akan meningkat pada masa akan datang. Kebanyakan kes kematian berlaku di negara-negara berpendapatan rendah disebabkan strategi dan kawalan penyakit yang lemah.

2. Merokok ialah punca nombor satu

Ini bukanlah satu fakta baru. Langkah ke arah mengawal produk tembakau sedang berkembang terutamanya di negara-negara maju. Iritasi daripada bahan tembakau ke atas paru-paru menyebabkan tisunya rosak. Bukan sahaja mereka yang merokok, perokok pasif juga berisiko menghidap keadaan yang sama.

Selain itu, merokok juga meningkatkan risiko banyak penyakit lain termasuk gastrik dan kanser paru-paru. Langkah kerajaan untuk mewartakan restoran sebagai kawasan larangan merokok ialah satu langkah yang positif ke arah mengawal pengunaan produk tembakau.

3. Genetik mungkin memainkan peranan

Salah satu jenis COPD adalah disebabkan oleh genetik iaitu Alpha-1 Antitrypsin deficiency (A1AD). Ia sangat jarang berlaku dan merupakan satu-satunya jenis yang dikaitkan dengan genetik.

Pesakit A1AD mengalami kekurangan sejenis enzim yang dihasilkan oleh hati untuk melindungi paru-paru. Kekurangan enzim ini membuatkan paru-paru lebih terdedah kepada penyakit.

4. Diagnosis mungkin agak rumit

Memandangkan penyakit ini paling banyak berlaku dalam kalangan perokok, simptom yang ditunjukkan semasa di peringkat awal penyakit mungkin tidak jelas. Simptom seperti batuk dan susah bernafas dianggap biasa dalam kalangan perokok. Jadi, mereka lebih cenderung untuk mengabaikannya.

Bantuan perubatan hanya akan dicari selepas keadaan sudah menjadi semakin teruk. Kesannya, ramai pesakit tidak dapat bertahan lama.

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid
Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid
Disemak oleh PakarDr. Aisyah Syahira Abdul HamidDokter Umum · Hello Health Group
Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 23/11/2021